Tuesday, October 4, 2011

Aktiviti Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW 2011


Program Sambutan Maulidul Rasul SAW 2011
Tarikh  : 14-15 Februari 2011
Tempat : Sekitar Kawasan Sekolah
Masa: 8.00 pagi – 2.00 Petang
Pelajar: Semua Pelajar

Penyelaras Program: Ustaz Muhamad Hishamudin B Hashim

Program Sambutan Maulidul Rasul SAW 2011


Tarikh  : 14-15 Februari 2011
Tempat : Sekitar Kawasan Sekolah
Masa: 8.00 pagi – 2.000 Petang
Pelajar: Semua Pelajar

Penyelaras Program: Ustaz Muhamad Hishamudin B Hashim

Bengkel Teknik Menjawab Peperiksaan Pertengahan Tahun T4 Pendidikan Islam


Tarikh: 23 April 2011
Tempat : Dewan al-Azim SMTSPPP
Masa: 8.30 pg – 10.30 pagi
Pelajar: Semua Pelajar Tingkatan 4

BENGKEL TAJWID UNTUK SPM SIRI 2

BENGKEL TAJWID UNTUK SPM

BENGKEL DI PKG Penanti ( 19-21 April 2011 )

BENGKEL
TEMPAT: DI PKG PENANTI
TARIKH:19-21 April 2011

Sunday, October 2, 2011

5 Syarat Melakukan Maksiat


Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.”

Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”

“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya?”

“Yang kedua,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!”

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?”

“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu.

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”

“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.”

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”

“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”

“Baiklah, apa syarat yang kelima?”

Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.”

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah.” katanya sambil terisak-isak.

Allahu a’lam bisshawab.

Doa Agar Dapat Bermimpi Bertemu Rasulullah SAW

Tuesday, September 27, 2011

Jagalah Allah, Nescaya Allah Akan Menjagamu

Dari Ibnu Abbas RA, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah SAW (boncengan), lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku. (Hadis Hasan Sahih Riwayat Iman Tarmidzi) 

SYARAH AL HADIS :

Peliharalah Allah, nescaya (Dia) akan memelihara kamu.

Maksudnya: Kita hendaklah sentiasa memelihara hukum hakam Allah, hak Allah, perintah Allah dan larangan Allah. Iaitu dengan mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.Amalan wajib yang paling utama agar dipelihara ialah ibadah solat. Dan juga termasuk kedalam makna pemeliharaan ini ialah kita mesti memelihara anggota badan kita daripada melakukan perkara perkara haram. Dan diantara hadis yang menyebut tentang pemeliharaan ini, ialah:
 
Ertinya: Barangsiapa yang memelihara apa yang terdapat diantara dua janggutnya (iaitu mulutnya) dan apa yang terdapat diantara dua kakinya (iaitu kemaluannya) maka dia masuk syurga. (Hadis dari Abi Hurairah).

Ringkasnya, ada dua makna yang dimaksudkan dengan memelihara Allah iaitu:

Memelihara hukum hakam yang berhubungan dengan amalan-amalan hati seperti keimanan (akidah), keikhlasan, rasa takut, cinta, harap dan sebagainya. Begitu juga seperti memelihara hati dari daripada segala jenis penyakitnya. Maka memelihara amalan hati ini adalah lebih penting dari memelihara amalan yang tidak bersangkutan dengan hati. Memelihara hukum hakam yang bersangkutan dengan amalan anggota yanq zahir. Apakah amalan itu membawa kepada kebaikan agamanya seperti solat, menutup aurat dan sebagainya atau yang dapat membawa kepada kebaikan dunianya iaitu muamalat atau aktibiti yang mendatangkan faedah.

Peliharalah Allah, nescaya kamu dapati Dia dihadapanmu:

Maksudnya: Jika kita memelihara Allah sebagaimana maksud diatas maka dia bukan saja akan mendapat pemeliharaan daripada Allah, malahan Allah akan berada dihadapannya iaitu bersamanya dimana saja dia pergi. Allah akan menolongnya, mengawalnya, memperkuatkan hatinya serta menunjukinya ke jalan yang lurus. Orang yang mendapati Allah besertanya akan selalu merasa tenang, gembira, kuat, dan tidak ada yang perlu ditakuti. Bukankah Allah telah menguatkan semangat Musa dan Harun AS ketika mereka merasa takut berhadapan dengan Firaun?

Allah berfirman: Janganlah kamu berdua takut, sesungguhnya Aku bersama kamu berdoa Aku Mendengan dan Melihat (Thaha: 46).

Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah menguatkan semangat Abu Bakar As Siddiq ketika beliau berdua berada dalam gua Tsur?
 
Firman Allah: Ketika orang orang kafir (mushrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah), sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu ia berkata kepada temannya: " Jangan kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita. (At Taubah / 9 : 40).

Dan jika kamu memohon maka memohonlah kepada Allah: Maksudnya: Setelah kita meyakini bahawa jika kita memelihara hukum hakam Allah nescaya Allah akan sentiasa berada bersama kita dengan ilmunya, hidayahnya dan pertolongannya. Maka sudah sewajarnyalah jika kita memohon sesuatu hendaklah kita memohon kepada Allah yang Maha Dekat (Qarib) lagi Maha Pemberi (Wahhab), bukan kepada yang lain.

Permohonan manusia kepada Allah ada dua cara:

Melalui lisan. Mengungkapkan isi kandungan hati melalui lidah dengan penuh khusyuk dan merendah diri (tawadhu') dihadapan Allah yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa.
 
Melalui amalan. Apa saja amalan yang dilakukan, apakah sebagai pedagang, dokter, pekerja kilang, menuntut ilmu, hendaklah mereka sentiasa ingat kepada hukum hakam Allah ketika melaksanakan tugas masing masing sambil mengharap kiranya pekerjaan tersebut dapat membawa kebaikan baginya pada masa hadapan.

Dan jika kamu meminta pertolongan maka mintalah kepada Allah.

Kandungan nasihat ini mengandungi dua pengajaran:
Mengingatkan umat manusia bahawa mereka adalah makhluk yang lemah, kuasa mereka sangat terbatas, mereka tidak akan dapat mencapai apa yang mereka hajatkan tanpa bantuan pihak yang lain.
 
Mengingatkan umat manusia betapa kuasa Allah yang tiada tara dan batasannya. Segala penghuni langit dan bumi tunduk kepada ketentuan-Nya. Jadi atas dasar inilah maka manusia mestilah memohon sesuatu hanya kepada Allah. Kecuali dalam hal-hal biasa yang termampu dikerjakan oleh manusia, seperti mengangkat suatu barang, meminjam sesuatu dan lain-lain. Namun demikian kita juga mesti memohon kepada Allah agar dipermudah jalan untuk mendapatkannya.
 
Selain itu juga wajib diketahui bahawa memohon pertolongan kepada Allah atau berdoa kepada-Nya mestilah secara langsung secara terus menerus kepada-Nya, tidak melalui sembarang perantaraan atau wasitah dari manusia atau lainnya.

Tidak ada orang yang dapat memberi manfaat dan mudarat tanpa izin Allah:
 
Rasul saw. menerangkan kepada Ibnu Abbas RA bahawa sekiranya sekalian umat atau makhluk berkumpulan dan bersatu untuk memberi manfaat kepadanya ataupun sebaliknya mereka bersatu dan berkumpul untuk mendatangkan mudarat kepadanya, namun semua itu tidak mungkin akan terjadi kecuali apa yang telah dituliskan untuknya di Luh Mahfudz sejak azali.

Oleh sebab itu kita tidak seharusnya terlalu gembira atau berduka terhadap sesuatu yang dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita. Kerana kita yakin bahawa segala-galanya adalah di dalam ketentuan Allah. Kalau di dalam ketentuannya tidak ada keputusan untuk memberikan sesuatu kepadanya, nescaya dia pasti tidak akan dapat memperolehinya walaupun seluruh makhluk bersatu berusaha untuk menolongnya. Demikian sebaliknya kalau ditentukan bahawa ia akan mendapatkannya, walaupun seribu halangan, pasti ia akan memperolehinya juga.

Allah berfirman: Dan jika Allah kenakan bahaya kepada engkau maka tidak ada yang dapat melepaskannya melainkan Dia. Dan jika dia mahukan kebaikan kepada engkau maka tidak ada yang dapat menolak kurnianya itu. (Yunus: 107)

KESIMPULAN:

1. Walaupun pada asalnya nasihat ini untuk Ibnu Abbas yang ketika itu masih muda remaja, namun prinsip pengajaran yang dikandung hadis ini adalah umum yang juga berguna untuk orang yang telah dewasa atau tua.

2. Memelihara Allah bererti memelihara agamanya. Memelihara agama bererti menjadi orang yang menuruti hukumnya dan mengikuti peraturannya. Dan itu tidak mungkin dapat dilakukan tanpa amal bakti, usaha dan ikhtiar. Melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

3. Para remaja hari ini terdedah dengan bermacaam pengaruh negatif. Sungguh banyak dikalangan mereka yang jatuh kelembah kehinaan. Mereka sebenarnya boleh mendapat pemeliharaan Allah. Tetapi bagaimana mereka akan mendapat pemeliharaan Allah kalau mereka sendiri tidak berusaha memelihara Allah?

4. Setiap orang tua mesti berusaha untuk memberi kefahaman tentang konsep yang terkandung dalam hadis ini kepada anak-anak mereka. Jika mereka dapat memahami dan mengamalkan konsep ini, selain tugas orang tua akan menjadi lebih ringan dan juga insya Allah para remaja mereka akan selamat di dunia dan di akhirat.

Monday, September 26, 2011

DOA KUAT INGATAN

DOA DARI TAFSIR SURAH AL-MUKMINUN UNTUK MENGELAK LUPA PETIKAN KITAB 101 DOA DRP HADIS2 SAHIH

اللَهُمَّ زِدْنَا وَ لا تَنْقُصْنَا ، وَأَكْرِمْنَا وَلاَ تُهِنَّا ، وَأَعْطِنَا وَلاَ تَحْرِمْنَا ،
وَآثِرنَا وَلاَ تُؤْثِرْ عَلَيْنَا ، وَ ارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
 
Maksudnya : “Ya Allah , tambahkanlah buat kami jangan Engkau kurangkan , Muliakankah kami , jangan dihina , berilah buat kami , jangan ditahannya , dan pilihlah kami jangan Engkau biarkan , dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami” . .

Petua Beramal

Dalam tafsir Ibn Kathir , diriwayatkan oleh Sayyidina Umar al-Khattab ra bahawa Nabi saw pernah berdoa apabila turunnya surah al-Mukminun seperti di atas.

Memerhatikan intisari munajat di atas , digalakkan hamba agar memohon kepada Allah kelebihan dalam anugerahNya , baik umur , rezeki , harta , anak anak yang soleh solehah dan sebagainya yang dinilai manusia sebagai nikmat . Selain itu juga , kita memohon kemuliaan agar dipandang tinggi dan dihormati oleh orang lain. Akhirnya kita juga meminta agar diletakkan Allah lebih tinggi dari kedudukan orang lain , agar segala anugerahNya diberi kepada kita mendahului orang lain .

Menurut al-Tirmizi, al-Nasa`ei dan al-Hakim, doa ini dibacakan oleh Nabi sebaik sahaja selesai menerima wahyu .Justeru kita digalakkan membaca doa ini semasa memeperolehi ilmu agar dikurniakan
keberkatan apa yang dipelajari menyebabkan semuanya itu terus tersemat dalam minda dan dijauhi penyakit lupa.

Sunday, September 25, 2011

Doa Sebelum Belajar

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على محمد وآل محمد
اَللَّهُمَّ اَخْرِجْنِي مِنْ ظُلُمَاتِ الْوَهْمِ، وَاَكْرِمْنِي بِنُوْرِ الْفَهْمِ. اَللَّهُمَّ افْتَحْ عَلَيْنَا اَبْوَابَ رَحْمَتِكَ،
وَانْشُرْ عَلَيْنَا خَزَآئِنَ عُلُوْمِكَ بِرَحْمَتِكَ يَااَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Bismillâhir Rahmânir Rahîm,
Allâhumma shalli ‘alâ Muhammadin wa âli Muhammad
Allâhumma akhrijnî min zhulumâtil wahmi, wa akrimnî bi nûril fahmi. Allâhummaftah ‘alaynâ abwâba rahmatika, wansyur ‘alaynâ khazâina ‘ulûmi- ka birahmatika yâ Arhamar râhimîn.

Dengan asma AllahYang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Ya Allah, sampaikan shalawat kepada Rasulullah dan keluarganya
Ya Allah, keluarkan aku dari gelapnya kebingungan dan muliakan aku dengan cahaya pemahaman. Ya Allah, bukakan kepada kami pintu-pintu rahmat-Mu, dan curahkan kepada kami khazanah-khazanah ilmu-Mu dengan rahmat-Mu wahai Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.
Amin…

LANGKAH DEMI LANGKAH MENUNTUT ILMU

Berikut merupakan secebis tauladan daripada hidup Imam Ahmad As-Syafie yang sangat mencintai ilmu. Semoga kisah kegigihan serta ketabahan imam besar ini mampu menyemarakkan semangat para remaja muslim yang juga sedang mengorak langkah menimba ilmu.
 
Semenjak kecil lagi aku mempunyai minat mendalam menuntut ilmu. Bahkan banyak pengetahuan telah ku perolehi sewaktu kecilku. Aku belajar Al-Quran dan Hadis Rasulullah dengan cara menghafal. Cintaku kepada ilmu begitu berkobar bagai dian yang sentiasa menyala tanpa hentinya. Bilamana saja aku terdengar ulama atau cerdik pandai, aku merasa tidak sabar untuk menemuinya dan menimba ilmu daripadanya.
 
Suatu hari terlintas dihatiku ntuk mencari ilmu di negara orang. Lama benar aku memikirkan ,aku memikirkan perkara itu seorangan. Akhirnya aku pun memberanikan diri untuk meminta izin daripada ibuku. Aku mengjangkakan tidak sebegitu mudah untuk ibuku akan memperkenankan keinginanku. Maklum saja ibuku sangat menyayangi aku serta usiaku masih muda, sekitar umurku 14 tahun.

Memang benar sangkaanku. Ibu kelihatan berat untuk mempernyatakan persetujuannya. Memandangkan ibu sudah tua, dia khuatir jika ditinggalkan sendirian. Air mata ibu terus saja mengalir membahasi pipinya. "Maafkan saya ibu, saya sedikit pun tidak berniat untuk membuat ibu sedih. Saya akan membatalkan niat saya itu dan saya akan tinggal menguruskan keperluan ibu. Memadailah saya menuntut ilmu di tanah suci Makkah ini sahaja", demikian aku menjelaskan. Namun rupa-rupanya ibuku tidak menghalang keinginanku. "Tidak anakku, janganlah engkau salah faham melihat air mata ibu yang berlinangan ini, ibu tidak berniat hendak menghalang keinginanmu hendak menuntut ilmu. Semenjak engkau lahir, ibu telah bercita-cita agar engkau menjadi seorang yang mencintai ilmu. Ibu sentiasa berdoa agar engkau kelak menjadi seorang mukmin yang bertaqwa lagi alim dengan ajaran Islam. Dengan demikian kamu akan menjadi sumber ilmu serta mamimpin manusia ke jalan kebenaran", begitulah tingginya harapan ibuku.

Sambil mengesat air mata yang berlinang di kedua-dua belah pipinya, ibu terus menyambung "Anakku, apa yang ibu khuatir ialah ibu tidak mampu untuk mengadakan bekal makanan serta wang untuk perjalananmu menuntut ilmu. Engkautentu maklum dengan kehidupan kita yanh serba kekurangan ini. Inilah yang membuatkan ibu sedih". Aku cuba menenangkan ibu, "Sabarlah ibu, insyaAllah Tuhan akan menolong kita, Ibu usah susah hati, saya sedia bersabar menanggung sedikit kesusahan". Setelah agak tenang, ibu menyambung kembali, "Benar anakku, Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Engkau akan pergi berjuang dijalanNya, hanya Dia jualah yang akan mencukupkan keperluanmu nanti, Allah sentiasa menolong hamba-hamba yang soleh dengan seribu macam cara yang tidak disedari oleh hambanya".

Begitulah ibu pula menyejukkan hatiku. Ibuku sememangnya seorang yang kuat azam dan kuat jiwanya. Dalam soal menuntut ilmu serta apa jua usaha demi kepentingan Islam, sentiasa diutamakannya. Dalam keadaan tenggelam dengan perasaan terharu, ibu meletakkan satu bungkusan di hadapanku. Aku merasa hairan serta ingin benar mengetahui apakah isi bungkusan itu. Sambil mengesat air matanya ibu berkata, "Anakku, usahlah bimbangkan ibu di rumah. InsyaAllah Tuhan akan memelihara hambaNya yang lemah. Tiada apa yang ibu mampu bekalkan melainkan du helai jubah di dalam bungkusan ini. Ibu akan sentiasa berdoa ke hadrat Allah s.w.t agar engkau sentiasa dalam perlindunganNya". Setelah itu ibu terus berdoa,"Ya Allah Tuhan sekalian alam! Anakku iniakan meninggalkan aku untuk berjalan menuju keredhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut ilmu pesuruhMu. Oleh itu aku memohon kepadaMu ya Allah agar Engkau permudahkan urusannya. Peliharakanlah keselamatannya serta panjangkan umurnya agar aku dapat melihatnya pulang dengan dada yang penuh berisi ilmu yang bermanfaat. Amin!"

Selesai sahaja berdoa, ibu terus memelukku dengan penuh kasih sayang sambil mencium dahiku. Kemudian ibuku melepaskanku sambil berkata, "Pergilah anakku, Allah bersamamu InsyaAllah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan di kemudian hari kelak. Pergilah sekarang, ingatlah Allah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan". Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya alun ombak perasaanku ketika hendak meninggalkan ibuku. Ibu yang sangat ku kusayangi. Manusia yang paling kucintai dalam dunia ini. Dialah pelitaku yang tak pernah padam. Bagaimanakah dapatku membalas segala pengorbananya. Hanya kepada Allah aku memohon kesejahteraan dan kebahagian untuknya. Aku cuba teguhkan hati dan perasaanku agar kesedihanku tidak menyebabkan linangan air mata membasahi pipiku. Aku segera mencium tangan ibuku untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

Sambil melambai tangan aku pun meninggalkan perkarangan rumah yang tercinta. Sesekali aku menoleh kebelakang untuk membalas lambaian ibu, ibu masih tercegat diluar rumah sambil memperhatikanku. Lama-kelamaan wajah ibu bertukar menjadi samar ditelan kabus pagi. Aku meninggalkan Makkah tanpa membawa sedikit wang. Apa yang menjadi bekalan utamaku hanyalah iman yang teguh serta hati yang penuh tawakkal kepada Allah s.w.t, berserta restu ibu. Aku telah menyerahkan diriku kepada Allah Rabbul Alamin...

http://ummu-anas.blogspot.com/2009/11/langkah-demi-langkah-menuntut-ilmu.html

DOA KEPADA MEREKA YANG AKAN MENGERJAKAN HAJI

Saturday, November 20, 2010

Kelebihan & Keistimewaan Bulan Zilhijjah

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan. Ini yang selalu kita lalai mengenainya.

Disebutkan oleh Nabi SAW :

“Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu” (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman (yang bermaksud) :

“Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh” ( Al-Fajr : 1).

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma’ad, Ibn Qayyim).

Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

“Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini” (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-


> Zikir :
Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu..” (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

> Berpuasa :


Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

“Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari
Arafah” (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.> Melakukan lain-lain amalan sunat:

Seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

> Menjauhi maksiat:


Inilah masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

> Bertakbir:


Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tashriq. (13 Zulhijjah).

> Berkorban :


Allah SWT berfirman : ertinya : “dan berdoalah dan berkorban”. Allah SWT juga menyebut (yang bermaksud) :

“Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati” (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :

Ertinya : “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)” ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas’ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih (yang bermaksud), iaitu :-

“Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluhawal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan” ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh ajoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah (yang bermaksud):

"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik." (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :

“Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama”

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT:
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara
mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT (yang bermaksud):

“Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir.” (Al-Haj : 28)

dan juga firman Allah (yang bermaksud) :


“Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya” (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]

Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN’, hubungan persaudaraan ‘terkorban’, atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Waallahua’lam.

KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab seringkasnya:

“Tidak boleh !”

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan’ lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.

APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:

“Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya “tiada asalnya”.

Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu ‘alam

Sekian

* Artikel adalah tulisan Saudara Rosli Hanip (http://www.roslihanip.com/)

Rujukan:
[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh
al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas
Baca lagi...